Kerajaan sedia ambil alih Lebuhraya Rakyat

Iklan
Radzi (kiri, dua) mendengar penerangan daripada JKR ketika melawat tapak pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu -Kuala Krai di Kampung Bukit Tiu di sini hari ini.

MACHANG - Kajian terperinci akan dilaksanakan sebelum kerajaan Pusat mengambil alih projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejauh 10 kilometer (km) bermula di Kampung Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di sini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti status projek tersebut dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya komited dalam melaksanakan pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat dengan mengenepikan fahaman politik demi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Proses perbincangan telah dilaksanakan dan pihak berwajib sedang meneliti secara terperinci mengenai perkara tersebut sebelum keputusan akhir dibuat. Apa yang menjadi keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap projek berkaitan infrastruktur termasuk Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai ini dapat disiapkan secepat mungkin.

Iklan

"JKR telah meneliti tapak, status pembinaan yang telah dilaksanakan, infrastruktur yang telah dibina dan apakah langkah seterusnya bagi memastikan pembinaan berjalan lancar," katanya ketika melawat tapak pembinaan Lebuh Raya Rakyat di Kampung Bukit Tiu di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JKR Kelantan, Datuk Ir Razani Ab Lazid.

Iklan

Mac lalu Kerajaan Kelantan membuat permohonan semula kepada kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek Lebuhraya Rakyat sepanjang 10 km yang dibatalkan sebelum ini.

Permohonan rasmi itu dikemukakan menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTN) yang dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Tambah Radzi, selain mengelakkan kesesakan pada musim perayaan, pembinaan lebuh raya tersebut menjadi nadi pembangunan ekonomi rakyat yang mana dapat memendekkan perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Krai berbanding jalan sedia ada dari dua jam kepada 45 minit sahaja.

Jelasnya, sebanyak RM1.6 bilion telah dibelanjakan kerajaan bagi memastikan pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai tersebut berjalan lancar dan dapat disiapkan secepat mungkin.