SHAH ALAM - Mayat pasangan suami isteri yang dibunuh kejam dan diletakkan dalam beg pakaian pada 24 Ogos lalu telah dituntut oleh keluarga.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat pasangan suami isteri itu telah dituntut pada tengah hari tadi.
"Kakak dan adik mangsa telah menuntut mayat kedua mangsa," katanya.
Dalam pada itu kedua suspek yang ditahan sebelum ini akan dipohon untuk menyambung perintah tahanan reman.
"Polis akan memohon sambung reman kedua pada esok," katanya.
Terdahulu 26 Ogos lalu, mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan disumbat dalam beg pakaian sebelum dicampak ke dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27 di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dalam beg: Ada 13 kesan tikaman di dada
Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemui seorang pekerja juruteknik syarikat telekomunikasi kira-kira jam 5.30 pagi semasa menjalankan kerja pemeriksaan kabel.
Polis kemudiannya menemukan pula mayat seorang lelaki yang juga diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Tan Siew Mee, 52 serta suaminya, Lim Ah Kee@Lim Kok Hoe, 79.
Mayat Siew Mee ditemui pada Isnin lalu di dalam longkang Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, manakala mayat suaminya ditemui di longkang berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Alam Megah, jam 5 petang.
Difahamkan, jarak antara kedua-dua bagasi berisi mangsa ditemukan adalah kira-kira 3 kilometer.