PASIR MAS - Hati mana yang tidak luluh, sebaik sahaja menerima perkhabaran duka dua anak tercinta ditemui lemas dalam kejadian di Sungai Pasir Perah, Kampung Hujung Galok, Chetok di sini petang semalam.
Disebalik perkhabaran duka itu, bapa kanak-kanak berkenaan, Nor Zahri Muhammad, 38, kelihatan tenang menerima takdir Ilahi kehilangan dua anaknya Muhammad Zulfitri, 11, dan Nur Afifah, 8, dalam kejadian jam 6 petang itu.
Situasi itu dapat dilihat apabila Nor Zahri yang ditemui di Unit Forenstik Hospital Pasir Mas (HPM), Lati begitu tenang dengan pemergian Muhammad Zulfitri dan Nur Afifah.
Nor Zahri berkata, kejadian itu satu ujian besar buat dia dan seluruh ahli keluarga kerana kehilangan anak sulung dan keduanya secara serentak.
"Saya reda dengan apa yang berlaku dan ALLAH lebih sayangkan mereka berdua. Ketika kejadian saya berada di rumah yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kawasan berkenaan bersama anak bongsu, Nur Aryana, setahun.
"Kesemua lima anak-anak saya pergi ke lokasi kejadian bersama ibunya, Sharmila Sutirman, 38, dan rakan-rakan mereka yang lain," katanya.
Menurutnya, sebelum ini mereka sering kali pergi ke lokasi kejadian untuk mandi-mandi dan kawasan tersebut sering menjadi tumpuan penduduk setempat.
Katanya, bagaimanapun kedua-dua anaknya itu telah mandi di tempat lain selepas kawasan sebelum ini sudah ditimbus untuk dijadikan sebagai laluan bagi kerja-kerja mengangkut pasir.
"Mungkin disebabkan oleh faktor 'terleka pandang' Muhammad Zulfitri dan Nur Afifah telah lemas ketika sedang mandi di kawasan tersebut," katanya.