KUANTAN - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating ditutup dalam tempoh beberapa bulan bagi kerja membaiki dan menaik taraf kolam penyu di pusat itu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman berkata, dinding dan lantai ruang pameran hidupan laut itu perlu dibaiki selepas berlaku beberapa kerosakan akibat dimakan anai-anai sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, selain kerja menaik taraf kolam pameran pihaknya juga akan turut melakukan kerja membaiki bumbung surau.
"Jabatan perlu segera membaiki kerosakan bagi mengelak lebih banyak masalah seterusnya menjaga imej PKPP Cherating yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara sepanjang tahun.
"Jadi, pihak kita telah memperuntukkan sebanyak kira-kira RM100,000 bagi tujuan membaiki kemudahan di PKPP Cherating.
"Kerja-kerja itu kini sedang dilakukan kontraktor dilantik dan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk siap sepenuhnya,” katanya.
Azahari berkata, pelancong yang berkunjung ke PKPP Cherating kini tidak berpeluang untuk melihat pameran hidupan laut termasuk penyu yang sebelum ini ditempatkan dalam kolam.
Menurutnya, mereka hanya berpeluang melihat pusat penetasan penyu sambil mendapat penerangan daripada pegawai bertugas.
"PKPP Cherating sentiasa menerima kehadiran pelancong dalam dan luar negara sepanjang tahun. Pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung seperti acara melepaskan anak penyu ke laut,” katanya.
Dalam pada itu katanya, jabatan akan sentiasa memberi perhatian terhadap kemudahan serta produk pelancongan di PKPP Cherating bagi memberi kepuasan kepada setiap pengunjung.
"Kita berharap di PKPP Cherating dapat menarik lebih ramai lagi pelancong pada masa akan datang,” katanya.