HULU SELANGOR - Sembilan lori digunakan untuk mengangkut sejumlah sampah di satu tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kamunting, Bukit Sentosa.
Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Awaluddin Zakaria berkata, tapak berkenaan dikenal pasti selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.
"MDHS mengambil tindakan dengan menjalankan kerja pembersihan tapak sampah haram tersebut melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dengan kerjasama Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) cawangan Hulu Selangor.
"Sebanyak tujuah lori milik KDEB dan dua milik MDHS digunakan dalam kerja pembersihan dan pemantauan akan dijalankan secara berkala di kawasan terbabit," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, lokasi tersebut turut menjadi tempat pembakaran sampah pihak tidak bertanggungjawab.
"Tapak sampah haram ini wujud kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk yang membuang dan membakar sampah di tempat yang tidak dibenarkan
"Perbuatan ini menyebabkan kacau ganggu bau, pencemaran udara dan mengundang risiko penyakit berkaitan sistem pernafasan sekiranya berulang," katanya.
Awaluddin berkata, permasalahan tersebut tidak selesai sekiranya tiada kesedaran daripada orang awam.
"Penduduk diminta untuk memberikan kerjasama pada pihak Majlis dalam bersama-sama memantau dan memastikan kebersihan daerah ini.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan pembuangan sampah haram bolehlah dipanjangkan ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MDHS di talian 03-60641050," katanya.