Peniaga kuih resah, harga beras pulut naik di Kelantan

Iklan
Tinjauan mendapati bekalan tersebut masih mudah diperoleh namun harganya meningkat berbanding sebelum ini. - Foto Bernama

KOTA BHARU- Kenaikan harga beras pulut secara mendadak di Kelantan sejak bulan lepas meresahkan pengguna terutama peniaga kuih yang kemungkinan terpaksa menaikkan harga.

Tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit dan juga pasar mendapati bekalan tersebut masih mudah diperoleh namun harganya meningkat berbanding sebelum ini.

Iklan
Iklan

Bagi pengguna terutamanya peniaga kuih, keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih bagi memastikan bahan utama dalam menghasilkan kuih itu diperoleh.

Seorang peniaga kuih, Nor Hidayawati Othman, 40, dari Kampung Chempaka berkata kenaikan mendadak harga beras pulut menyusahkan serta membebankannya dan berharap kerajaan prihatin terhadap masalah itu dan melakukan sesuatu dengan segera.

Iklan

"Jika bulan lalu, harga bagi satu kilogram beras pulut hanya RM5.50, namun kini ianya boleh mencecah sehingga RM8.50 sekilogram,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ibu tunggal kepada lima anak itu berkata, peniaga memberi alasan kenaikan harga beras pulut dari Thailand yang menjadi pilihan itu disebabkan oleh nilai mata wang Malaysia yang sedikit rendah berbanding Thailand.

Katanya, kebanyakan peniaga kuih memilih menggunakan beras pulut keluaran berkenaan memandangkan ia lebih tahan lama dan lebih sesuai untuk digunakan membuat aneka kuih yang berasaskan beras pulut.

Iklan

"Disebabkan kenaikan harga ini, saya memikir untuk menaikkan harga kuih sehingga RM33 ringgit bagi satu loyang iaitu kenaikan sebanyak RM3 dan sedikit sebanyak ia turut menjejaskan permintaan pelanggan,” katanya.

Seorang peniaga aneka kuih"seri muka”, Siti Mushfirah Yusoff, 40, berkata beliau tidak punya pilihan dan terpaksa membeli memandangkan ia bahan utama bagi menghasilkan kuih berkenaan.

"Walaupun harga beras pulut meningkat naik dengan mendadak, tapi mahu tak mahu, saya terpaksa beli juga, dan ianya cukup terkesan memandangkan saya masih mengekalkan harga jualan kuih pada harga yang lama,” katanya.

Sementara itu, semakan harga di sebuah pasar raya di sini menunjukkan satu kilogram beras pulut Thailand berharga RM8.99.

Menurut jurucakap pasar raya itu harga beras pulut itu sebelum ini adalah RM6.99 iaitu harga promosi yang telah tamat beberapa hari lepas.- Bernama