Remaja jadi buta, pekak kerana makanan ringan

Iklan
Gara-gara mengamalkan tabiat pengambilan makanan ringan selama bertahun-tahun, seorang remaja di England dilaporkan hilang pendengaran dan penglihatan.

LONDON - Gara-gara mengamalkan tabiat pengambilan makanan ringan selama bertahun-tahun, seorang remaja di England dilaporkan hilang pendengaran dan penglihatan kerana kekurangan vitamin dan mineral.

Remaja lelaki dari Bristol itu dilaporkan pernah mengadu kepada doktor bahawa dia mengalami keletihan melampau ketika berusia 14 tahun.

Iklan
Iklan

Ujian yang dilakukan ke atasnya menunjukkan tahap vitamin B12 yang rendah dan macrocytic anaemia iaitu satu keadaan di mana sel darah merah lebih besar daripada biasa.

Remaja tersebut diberikan suntikan B12 dan nasihat pemakanan, namun pendengaran dan penglihatannya dilaporkan merosot apabila bertemu semula doktor setahun kemudian.

Iklan

Pada usia 15 tahun, dia sudah mula mengalami masalah hilang pendengaran dan penglihatan.

Laporan penyelidik daripada Hospital Mata Bristol yang diterbitkan menerusi Annals of Internal Medicine mendakwa penglihatan remaja itu menjadi semakin teruk dan menjadi buta apabila dia mencecah usia 17 tahun.

Iklan

Ketika itu, remaja tersebut mengaku dia hanya memakan kentang goreng, keropok, roti putih, daging proses dan sosej sejak berada di sekolah rendah.

Siasatan dilakukan terhadap nutrisi remaja lelaki itu mendapati dia kekurangan vitamin B12 dan D, kepadatan tulang mineral yang rendah dan paras mineral tembaga serta selenium yang rendah.

"Risiko untuk kesihatan kardiovaskular yang teruk, obesiti dan barah yang dikaitkan dengan pengambilan makanan ringan sudah diketahui umum. Tetapi, nutrisi yang buruk juga sebenarnya boleh merosakkan sistem saraf secara kekal terutamanya penglihatan.

"Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan buta kekal," jelas laporan itu. - Agensi