KOTA KINABALU - Polis menerima maklumat hampir setiap minggu, berkaitan pergerakan kumpulan penculik dan penjenayah rentas sempadan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.
Bagaimanapun Omar berkata, maklumat diterima itu menyatakan pergerakan kumpulan penjenayah berkenaan lebih berada di bahagian perairan Filipina.
Katanya, pasukan keselamatan memandang serius setiap maklumat diterima dengan terus memperkukuhkan kawalan di sekitar perairan negara khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi menjamin keselamatan kawasan itu.
"Hampir setiap minggu kita (polis Sabah) menerima maklumat sama (mengenai pergerakan kumpulan penculik dan penjenayah rentas sempadan) tetapi pergerakan itu lebih di sebelah perairan Filipina.
"Kita memang membuat kawalan di sekitar itu. Setakat ini, kawasan itu memang selamat,” katanya ketika diminta mengulas surat pemberitahuan dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, mengenai pergerakan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina.
Surat pemberitahuan yang tular sejak pagi Isnin itu menyatakan tiga kelompok Abu Sayyaf dilaporkan melakukan pergerakan ke perairan timur Sabah pada 30 Ogos, bertujuan melakukan penculikan dengan menyasarkan beberapa buah kapal di beberapa tempat atau wilayah iaitu Bakongan, Bahala, Sandakan, Mamiang, Tambisan dan Taganak.
Mengulas lanjut, Omar berkata, polis belum berhubung dengan KJRI di Kota Kinabalu mengenai perkara itu, namun, menjelaskan pasukan keselamatan Sabah turut ada menerima maklumat sama seperti diterima pihak tersebut.
Beliau berkata, pasukan keselamatan akan terus memperkukuhkan kawalan ESSZone bagi memastikan keselamatan perairan itu sentiasa terpelihara, daripada sebarang ancaman kumpulan pengganas dan penjenayah rentas sempadan.
"Polis, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, dan semua elemen keselamatan, sentiasa aktif melakukan rondaan di perairan pantai timur Sabah. Jadi, kita jangan risau, setakat ini, kawasan memang selamat," katanya.
Sementara itu, pada Selasa, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani ketika ditemui Bernama di pejabatnya berkata surat pemberitahuan itu bertujuan, memberi peringatan kepada kira-kira 300,000 warga Indonesia berdaftar di negeri ini supaya berwaspada dan berhati-hati ketika berada di laut.
Katanya, peringatan itu penting bagi memastikan warga Indonesia, khususnya yang bekerja di sektor perikanan sebagai nelayan dan kru kapal mengambil langkah keselamatan sekali gus tidak menjadi mangsa penculikan.
Menurutnya, sejak dari tahun 2000 hingga 2018, lebih 20 kes penculikan melibatkan warga Indonesia dengan mengorbankan hampir 40 orang. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Perintah berkurung ESSZone dilanjut sehingga 8 September