Sanggupkah utamakan barang kita?

Iklan

BOIKOT produk bukan bumiputera? Sekiranya memang ada pengguna yang berazam melakukannya, saya tidak fikir itu satu kesalahan.

Adalah hak mana-mana individu untuk membeli atau tidak membeli apa-apa barangan atau perkhidmatan. Duit mereka, tentulah mereka lebih tahu apa yang terbaik hendak dibeli.

Iklan
Iklan

Tetapi, boikot mungkin bunyinya terlalu garang terlalu gah. Secara peribadi saya lebih suka sekiranya tidak menggunakan istilah boikot.

Memadai dan lebih praktikal sekiranya kita utamakan produk bumiputera atau Melayu atau Islam. Beli produk bumiputera dulu. Utamakan produk kita!

Iklan

Maka teringat saya zaman kanak-kanak lebih setengah abad dulu. Kalau ada kempen boikot produk bukan bumiputera, pasti tidak berjaya.

Sebab pasar pagi di pekan Bukit Gambir dekat kampung saya, semua dikuasai bukan bumiputera. Baik ikan, sayuran dan barang keperluan lain, penjualnya semua bukan Melayu.

Iklan

Kalau boikot kedai mereka, alamat orang kampung saya tidak berlauk dan hanya makan sayur batang keladi rebus; itu pun tawar dan tidak berperisa, sebab garam dan belacan pun hanya Cina yang jual.

Ada apek kayuh basikal keliling kampung setiap pagi, menjual pau kaya. Meski ada orang kata pau dibuat campur minyak babi, orang kampung tetap beli pau dari apek.

Almaklumlah, Wak Sarman dan Mbak Tuminah hanya menjual lepat pisang dan getuk ubi. Sesekali teringin juga makan pau kacang hitam atau kaya!

Jika sakit pergi ke klinik Cina, sebab orang Melayu hanya pandai berbomoh belum ada yang menjadi doktor. Hatta hendak bergunting rambut pun kena ke kedai India, sebab tidak ada kedai gunting Melayu.

Baik kain baju, terompah, waima cuka getah pun beli dari kedai Cina. Dalam senario sedemikian, macam mana orang kampung saya hendak memboikot produk bukan bumiputera?

Tetapi itu dulu! Sekarang orang kita sudah pandai berniaga, sudah menjadi pemain korporat. Tidak sahaja garam dan belacan, kita telah menjadi pembekal jentera berat.

Maka tidak timbul lagi kesusahan untuk mendapat barangan dan perkhidmatan bumiputera. Jadi tidak ada salahnya sekiranya kita mengutamakan produk sendiri, tanpa memboikot produk lain.

Saya sekeluarga telah mengamalkan ini sejak sekian lama. Seberapa boleh saya akan mendapatkan dulu produk bumiputera. Biasanya tidak ada masalah.

Minyak masak, beras, gula, gandum,kicap, cili jeruk, sos cili, sos tomato, burger, sosej, semua ada buatan bumiputera. Klinik, doktor pakar, sudah ramai bumiputera.

Serbuk pencuci, syampu, ubat gigi, alat solek dan pelbagai makanan kesihatan yang memenuhi pasaran kini adalah produk bumiputera.

Bukan sahaja kedai gunting rambut, orang kita sudah buka bengkel kereta, butik modern, gedung pakaian, kilang kek, menjadi pembekal daging halal.

Hatta bidang peruncitan termasuk pasar raya dan gedung serbaneka pun semakin banyak dimiliki oleh bumiputera. Mereka bersaing secara terbuka dengan rakan-rakan bukan sebangsa.

Prinsip saya mudah sahaja, selagi produk bagus, harga berpatutan dan perkhidmatan pelanggan memuaskan tidak salah saya mengutamakan peniaga bumiputera.

Begitu pun saya tidak pasti berapa ramai pengguna seperti saya. Maka saya tidak pasti juga apakah kempen boikot produk bukan bumiputera ini akan berjaya.

Dalam waktu yang sama peniaga bumiputera sendiri jangan berasa kempen seperti ini akan memberi manfaat kepada mereka.

Sekiranya produk mereka tidak baik, harga tidak munasabah dan kakitangan serta layanan tidak mesra pelanggan, pengguna sentiasa ada pilihan untuk membeli barang orang lain.

Sebagai pengguna teramai, bumiputera atau Melayu atau Islam memang mempunyai kuasa beli yang tinggi. Kalau semua bersatu, kempen ini sepatutnya menguntungkan satu pihak. Tetapi seperti yang terbukti selama ini, kempen seperti ini tidak berjaya kerana bumiputera gagal menampilkan diri untuk bersaing dengan bukan bumiputera baik dari segi produk, harga dan yang lebih penting layangan kepada pelanggan.

Sebab itu, saya tidak berani mengatakan boikot. Terbaik yang saya boleh kata dan lakukan ialah utamakan produk bumiputera.

Meski bumiputera semua sudah lengkap, ada ketikanya saya masih memilih produk bukan bumiputera. Contoh: sekiranya sakit perut atau cirit-birit, saya lebih serasi dengan pil Poh Chai.

*Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Sinar Harian dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)