Wanita maut motosikal ditunggang dilanggar kereta

Iklan
Motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Pekan Baru Kuala Selangor.
KUALA SELANGOR - Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta di Kilometer 46, Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Pekan Baru Kuala Selangor, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Siti Normah Abd Karim, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang Honda R Racing dari Pekan Baru Kuala Selangor menghala ke Klang.

"Tiba di persimpangan lampu isyarat, mangsa dipercayai hendak keluar dari simpang kanan jalan sebelum Honda City dari Klang menghala ke Tanjong Karang gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa," katanya.

Noor Janihan berkata, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta berusia 27 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.