JOHOR BAHRU - Pesanan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir memberi isyarat yang cukup jelas bahawa parti ini merupakan wadah baharu bagi perjuang agenda Bumiputera tanpa mengabaikan hak kaum lain di negara ini.
Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya sedar akan kedudukan kaum Melayu yang masih ketinggalan terutamanya dalam bidang ekonomi.
"Justeru, kita di Johor akan memberi penekanan yang lebih terhadap kesaksamaan hasil dan bukan lagi kesamaan peluang.
"Menyedari perkara tersebut, kerajaan negeri akan mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri Johor.
"Ini bagi memastikan kesaksamaan hasil itu dinikmati rakyat Johor dan dalam masa yang sama menjamin pembangunan ekonomi negeri untuk bergerak lebih pesat dan lestari," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Osman berkata, apa yang berlaku terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu sehingga ditumbangkan rakyat menjadi pengajaran dan peringatan kepada Bersatu.
"Maka, Bersatu mahu melakukan dengan lebih baik dan benar-benar membela nasib Melayu dan bukannya sekadar bermain berpolitik," katanya yang juga Menteri Besar Johor.