KUALA LUMPUR - Pengaktifan semula Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (ESTC) yang akan mengadakan mesyuarat sulungnya di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) di Rusia dijangka dapat mengukuhkan lagi perdagangan dan pelaburan bersama antara kedua-dua negara itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan mengenal pasti kumpulan kerja dan bidang-bidang bagi kemungkinan kerjasama.
"Kita berharap dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
"Kerjasama yang lebih erat antara kumpulan kerja akan mewujudkan sinergi baru dan memanfaatkan potensi ekonomi ketika kita meneroka sektor baru dan meluaskan kerjasama kita,” katanya dalam catatan terbaharu di akaun Twitternya.
Azmin menyertai delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri EEF yang diadakan di Vladivostok, Rusia.
Terdahulu, hari ini, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di luar acara forum tersebut di mana kedua-dua pemimpin membincangkan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Azmin turut mengadakan mesyuarat dengan Denis Manturov, Menteri Industri dan Perdagangan Persekutuan Rusia dan Pengerusi Bersama ESTC di luar acara EEF.
ESTC dimeterai hampir lima tahun lalu tetapi tiada sebarang usaha yang diambil.
Persekutuan Rusia menjadi rakan dagangan global ke-28 Malaysia sejak 2018. - Bernama