Jais lancar inisiatif MyRadha ah

Iklan
Amirudin (dua, kanan) menyerahkan Kad MyRadha'ah kepada salah seorang ibu susuan sebagai simbolik pelancaran ketika Simposium Radha'ah 2018.
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan inisiatif pendaftaran MyRadha'ah sebagai pendekatan untuk merekodkan secara khusus melibatkan ibu susuan dan anak susuan di kalangan umat Islam.

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim berkata, pendekatan itu bertujuan bagi menjaga institusi keluarga Islam khususnya melibatkan hubungan nasab dan mahram dalam ikatan kekeluargaan bagi menjaga Maqasid Syariah atau keturunan.

"Inisiatif ini dilaksanakan oleh Jais memandangkan belum ada lagi satu kaedah untuk mendaftar ibu susuan dan anak susuan bagi tujuan untuk menjaga nasab.

"Soal ini penting sebab ia berkaitan dengan syariat Islam di mana kedudukan anak susuan itu sama seperti anak sendiri dalam beberapa perkara dari segi hukumnya.

"Jadi dengan adanya inisiatif ini, pihak Jais berharap umat Islam dapat membantu kita untuk mendaftar kerana penting dari segi syariat ialah anak susuan tidak boleh berkahwin sesama saudara yang sama susuan, itu yang paling penting. Ini dapat mengelakkan kebarangkalian perkahwinan sesama saudara susuan.

"Kita juga akan perluaskan inisiatif ini ke negeri-negeri lain seluruh Malaysia dan berharap mendapat kerjasama penuh daripada pihak berwajib di negeri lain bagi memastikan kita mempunyai rekod atau data berkenaan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran program Simposium Radha'ah 2018 yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang turut hadir merasmikan simposium berkenaan turut menyifatkan pendekatan dilaksanakan Jais itu sebagai satu inovasi yang baik khususnya sebagai satu pangkalan data dan rekod untuk rujukan masa depan.

"Ini satu pencapaian dan inovasi sangat baik yang telah diikhtiarkan oleh pihak Jais iaitu memperkenalkan kad Radha'ah iaitu kad ibuan dan pendaftaran ibu dan anak susuan di Selangor.

"Perbincangan dalam simposium hari ini juga menjurus kepada untuk memastikan pasangan-pasangan yang berkahwin itu berada di dalam keadaan sah berkahwin kerana kadangkala kita terlupa bab hubungan ibu susuan.

"Dengan pelancaran kad Radha'ah ini, kerajaan negeri akan memiliki satu yang meliputi senarai ibu susuan dan anak susuan mereka dan kita akan dapat mempermudah dan menjamin perkahwinan di masa depan itu tidak melanggar hukum syarak," katanya.

INFO

CARA PERMOHONAN

1. Borang permohonan Pendaftaran Kad MyRadha'ah boleh diperolehi di setiap Pejabat Agama Islam Daerah atau Bahagian Undang-undang Keluarga, Jais.

2. Borang permohonan Pendaftaran My Radha'ah hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Undang-undang Keluarga Jais.

3. Pemohon akan diberikan khidmat nasihat Radha'ah secara ringkas (jika perlu) oleh pegawai bertugas menggunakan senarai semak yang disediakan.

4. Pemohon atau wakil hendaklah mengesahkan akuan penerimaan Kad MyRadha'ah.