PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa pemain negara supaya tampil lebih berani sesuai dengan status Harimau Malaya apabila turun menentang tuan rumah Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.
"Semua pemain perlu berani. Main dengan penuh bersemangat dan berikan persembahan yang terbaik. Misi kita hanya satu iaitu untuk membawa pulang tiga mata penuh daripada perlawanan pertama Kumpulan G ini.
Iklan
Iklan
"Jangan gentar dengan penyokong tuan rumah. Kita tak perlu ada rasa takut kerana rekod kita di Gelora Bung Karno ini cukup baik. Kita pernah menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di stadium ini.
"Jadi mengapa tidak kita meneruskan rekod baik itu pada malam ini. Main sepenuh hati untuk rakyat Malaysia kerana setiap perlawanan dalam Kumpulan G ini kita anggap seperti perlawanan akhir bagi memastikan Malaysia dapat mengutip banyak mata untuk layak ke peringkat seterusnya," kata Hamidin yang hadir ke hotel penginapan pasukan, pagi tadi bagi sesi bersarapan bersama pemain dan seterusnya mengadakan sesi taklimat serta amanat dan kata-kata semangat menjelang aksi malam ini.
Turut sama pada sesi taklimat pagi tadi, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan dan Datuk Posa Majais selaku penolong pengurus pasukan.
Aksi sulung Kumpulan G bagi saingan Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dengan sepak mula perlawanan jam 7.30 malam ini waktu Indonesia (8.30 malam waktu Malaysia).
Artikel Berkaitan