Kerajaan optimumkan perbelanjaan sosial RM107 bilion

Iklan
Lim Guan Eng
PUTRAJAYA - Kerajaan perlu merasionalisasi dan mengoptimumkan perbelanjaan sosial berjumlah RM107 bilion yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2019 terutama berkaitan bantuan kerajaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kerana jumlah itu diuruskan beberapa kementerian berlainan yang mengakibatkan pertindihan fungsi dan bantuan.

"Sektor awam perlu mengurangkan pertindihan fungsi itu bagi memastikan bantuan kerajaan mempunyai impak tertinggi dan benar-benar disalurkan kepada golongan yang memerlukan," katanya pada sesi kumpulan fokus Belanjawan 2020.

Sesi kumpulan fokus yang berlangsung di Kementerian Kewangan di sini hari ini turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurutnya, peruntukan RM107 bilion untuk sektor sosial itu bersamaan dengan 34 peratus daripada jumlah besar perbelanjaan Belanjawan 2019 dengan RM2.4 bilion daripadanya diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Daripada jumlah itu, RM98 juta diperuntukkan untuk pelbagai program termasuk melibatkan orang kurang upaya (RM26 juta), kanak-kanak (RM25 juta), wanita (RM16 juta), warga emas (RM11 juta), keluarga (RM11 juta) dan golongan gelandangan (RM9 juta).

"Kepentingan membantu golongan yang memerlukan dan kumpulan B40 untuk turut terlibat dalam pendigitalan ekonomi Malaysia terutama dalam era pendigitalan ekonomi negara daripada 18 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekarang kepada 21 peratus pada 2022.

"Pada zaman ekonomi baharu ini boleh dikatakan akses kepada internet bukan lagi satu kemewahan, tetapi ia adalah satu hak asasi manusia," katanya.

Lim berkata, pada suku kedua 2019 ekonomi Malaysia berkembang dengan pesat pada 4.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya mengatasi jangkaan pasaran dan menjadikan Malaysia antara sekumpulan kecil negara yang berjaya tumbuh dengan lebih pantas pada tahun ini.

"Bagaimanapun, kemakmuran sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan kepada pertumbuhan KDNK yang rancak atau pencapaian status ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.

Menurutnya, cabaran kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan supaya pertumbuhan ekonomi negara adalah inklusif iaitu perlu diiringi dengan peningkatan mutu hidup rakyat yang dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.

"Pembangunan inklusif memerlukan jaringan keselamatan sosial bersepadu yang mampu melindungi semua rakyat Malaysia, terutamanya rakyat yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik," katanya. - Bernama