SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan beberapa premis sekitar Lembah Klang yang menjual produk Hamer Ginseng dan Coffee Candy yang mengandungi racun berjadual nortadalafil dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 19 serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) dengan nilai rampasan RM18,910 sepanjang tahun ini.
Menurutnya, nilai rampasan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu hanya enam serbuan membabitkan sebanyak 328 paket rampasan bernilai RM2,724.
"Pada tahun ini juga sebanyak 87 platform melibatkan laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk itu disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara," katanya.
Noor Hisham berkata, sebanyak 21 notifikasi dikeluarkan kepada pengendali e-dagang untuk menurunkan iklan penjualan produk tersebut sejak tahun lalu.
Tegas beliau, KKM turut bekerjasama dengan pihak antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan dalam usaha membanteras aktiviti itu.
Katanya, nortadalafil adalah ubat terkawal untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki.
"Mereka yang mempunyai stok produk ini diminta menghentikan serta-merta semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya.
"Penjualan racun berjadual tanpa lesen sah boleh disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3, 000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.
Selain itu, aduan juga boleh dikemukakan di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.