KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat malam ini, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin hadapan.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada jam 7.20 malam di Masjid Negara di sini disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Hadir sama, beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu selain Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Seri Paduka berdua kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah. Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat meninggalkan majlis pada jam 9.10 malam.
Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lalu.
Seri Paduka dijadual berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat yang akan berlangsung masjid sama, esok. - Bernama