SELAYANG - [DIKEMASKINI] Satu rakaman tular di laman sosial Facebook apabila seorang lelaki dilihat cuba menculik seorang kanak-kanak perempuan dalam masjid.
Rakaman CCTV berdurasi 37 saat itu menunjukkan kanak-kanak perempuan itu berada berhampiran sinki dan bergerak mahu masuk ke ruang solat sebelum ditarik seorang lelaki.
Lelaki berkenaan dilihat menarik dan menutup mulut kanak-kanak dipercayai lingkungan 7 tahun.
Bagaimanapun, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu yang melihat kejadian terus menarik mangsa.Suspek bagaimanapun tidak terus lari dari lokasi sebaliknya berdiri di tempat kejadian memperkatakan sesuatu kepada ibu mangsa.
Terdahulu, suspek yang berstoking dan memakai selipar melalui ruang pejalan kaki itu sambil melihat keadaan sekeliling sebelum berpatah balik ke arah kanak-kanak tersebut untuk menarik mangsa
Rakaman yang belum dapat dikenalpasti lokasinya itu menarik perhatian netizen yang terkejut dengan situasi tersebut apabila kawasan masjid turut menjadi sasaran melakukan jenayah.
"Bahaya la sekarang, dekat masjid pun ada orang nak culik," tulis Marwan Wan Sejuk.
"Ni kalau dapat, kena pijak sampai separuh nyawa aku buat," tulis Mohd Shafiq Reza
Ada juga dalam kalangan netizen menasihat pasangan dan ahli keluarga lain untuk memantau dan lebih berhati-hati ketika membawa anak-anak ke masjid.
"Hati-hati bawa anak ke masjid," pesan Nahdatulsima Halim kepada pasangan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
"Pihak polis ada terima laporan mengenai kejadian berkenaan tapi ia bukan melibatkan cubaan culik sebagaimana tular di media sosial.
"Kita sedang berusaha mendapatkan mklumat lanjut mengenai lelaki berkenaan dari jemaah yg hadir solat di masjid tersebut," katanya.
Ditanya mengenai tangkapan ke atas suspek katanya, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan kemudian.