IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan pengusaha restoran agar tidak terpedaya dengan tindakan pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan menjual papan tanda larangan merokok.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya menerima aduan terdapat individu mengakui wakil kementeriannya menjual dengan harga serendah RM10 susulan penguatkuasaan larangan itu pada 1 Januari 2019.
Menurutnya, KKM menegaskan tidak pernah melantik mana-mana wakil atau agen untuk menjual papan tanda itu.
"Kementerian tidak menjual papan tanda ini sebaliknya menjadi inisiatif peniaga restoran untuk buat sendiri. Ukuran rekaan standard bagi notis ini adalah 40 sentimeter (cm) lebar, 50cm panjang.
"Sudut meletakkan papan tanda dan penggunaan bahasa cina serta tamil tiada masalah asalkan ada logo ini dengan rekaan standard. Logo kementerian pun tidak perlu letak,” katanya selepas menghadiri Program Gotong Royong Membanteras Wabak Denggi di Taman Rasa Sayang, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.
Boon Chye berkata, memadai restoran meletakkan satu papan tanda di premis mereka.
"Restoran perlu pamer papan tanda ini. Satu sahaja sudah cukup bagi mudah dilihat oleh pelanggan.
"Gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan denda hingga RM3,000 tetapi untuk perokok boleh didenda RM10,000,” katanya.
Jelas Boon Chye, peraturan baharu itu bertujuan mengurangkan jumlah perokok selain melindungi hak golongan bukan perokok agar bebas daripada asap rokok.
"Di Malaysia, dianggarkan lebih 20,000 orang mati akibat penyakit berkaitan merokok dan sebanyak RM7.4 bilion diperlukan untuk kos rawatan pada setiap tahun,” katanya.