PUTRAJAYA - Pelan Kemakmuran Bersama akan dilaksanakan selepas Agenda Bumiputera Baharu siap dirangka sepenuhnya dengan penglibatan semua pihak.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan akan diadakan dengan badan ekonomi Melayu, dewan perniagaan, pemain industri, ahli korporat dan parti komponen PH.
"Apabila Agenda Bumiputera baharu yang boleh kita namakan Pelan Kemakmuran Bersama dilaksanakan nanti, kita mahu ia mendapat sokongan semua pihak," katanya.
Pelan tersebut akan diharapkan dapat disokong dan diterima oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilaksanakan oleh kerajaan.
"Boleh Tun? Tuan puan setuju? Alhamdulillah, terima kasih," katanya yang menerima tepukan perwakilan.
Menurutnya, agenda tersebut akan menumpukan kepada usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Melayu dan Bumiputera.
"Ini termasuk peningkatan pendapatan isirumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan, serta kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset," katanya.
Beliau berkata, ekonomi negara harus dipastikan berkembang dengan pesat agar hasil kemakmuran dapat dirasai oleh semua rakyat.
"Jika ekonomi kita tidak berkembang atau terencat, tiada apa yang boleh dikongsi oleh rakyat," tegasnya.
Malah katanya, nikmat ekonomi yang sedikit akan menyebabkan rakyat berebut menikmati hasilnya.
"Kita akan bercakaran sesama kita. Kita akan berbalah dan bermusuh. Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu," katanya.
Muhyiddin berkata, orang Melayu perlu menjadi pelindung kepada diri sendiri dan tidak boleh bergantung kepada pihak lain.
"Benar, bantuan kerajaan penting. Benar, parti politik Melayu penting. Tetapi orang Melayu tidak boleh bergantung kepada bantuan kerajaan atau parti politik Melayu selama-lamanya," katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya orang Melayu bedikari, mampu bersaing.
"Inilah petunjuk sebenar kejayaan kita," katanya.
Muhyiddin berkata, jika parti dapat membina bangsa Melayu yang maju dan berdikari, jurang ekonomi antara kaum dapat dirapatkan.
"Dalam satu tempoh masa yang tidak berapa lama lagi, orang Melayu tidak lagi memerlukan apa-apa bantuan untuk maju.
"Kita pada waktu itu boleh menarik nafas lega bahawa parti, ahli-ahli Bersatu, telah berjaya melaksanakan amanah kita," katanya dalam ucapan Presiden di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, perubahan sikap orang Melayu dan Bumiputera akan menjadi komponen penting Agenda Bumiputera.
"Tanpa perubahan sikap, apa sahaja dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan dapat membantu orang Melayu dan Bumiputera untuk maju.
"Kita mesti terapkan nilai-nilai amanah, rajin, berdisiplin, berani, cekap dan semua nilai murni dalam kehidupan orang Melayu. Barulah bangsa Melayu boleh berjaya," katanya.