FATIMAH Zakaria (bukan nama sebenar), berusia 58 tahun kerap mengalami sakit pada lutut sejak kebelakangan ini.
Apabila sesekali sakit itu menyerang, beliau agak sukar untuk melakukan pergerakan terutama apabila ingin bangun daripada duduk.
Disebabkan itulah, apabila tibanya waktu solat, Fatimah akan menunaikan solat dengan berdiri pada rakaat pertama dan selepas sujuk kali kedua, beliau akan menyambung rakaat berikutnya hingga selesai.
Bagaimanakah garis panduan solat untuk mereka yang sakit lutut?
Dalam hal itu, asal hukum solat ialah berdiri bagi yang mampu.
Ia ditegaskan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang mana Saidina Imran bin Husain pernah mengalami sakit buasir, lalu mengadu kepada Nabi Muhammad SAW bagaimana perihal solatnya.
Baginda SAW menjawab: "Solatlah berdiri, jika tidak mampu solat duduk, jika tidak mampu solatlah dalam keadaan berbaring di atas lambung kanan."
Menerusi hadis itu, dapat disimpulkan bahawa keringanan atau kemudaratan itu diambil berdasarkan situasi orang yang menghadapinya.
Sejauh mana kesakitan atau mudarat seseorang itu, dia sendiri yang mengetahui tahapnya.
Jika sakit maka, dia mendatangi rukun solat sekadar termampu dan kembali menyempurnakan rukun itu apabila sakit sudah hilang.
Andai kata pada rakaat kedua sakit lutut 'menyerang', maka dia boleh solat dalam keadaan duduk setelah berdiri pada rakaat pertama.
Namun, katakanlah pada rakaat ketiga sakitnya sembuh, maka hendaklah dia berdiri semula sekadar termampu.
Sakit itu mendatangkan pahala dan mudah-mudahan ia menjadi sebab manusia diampunkan dosa-dosanya.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.