Haluan komited perkasa jati diri generasi muda

Iklan
Peserta kursus bergambar selepas berakhirnya Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2018, Zon Timur di sini, kelmarin.

PEKAN - Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) komited melaksanakan pelbagai program dalam usaha memperkasakan jati diri generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Usaha itu bagi melahirkan generasi muda berperinsip jelas, teguh jati diri dan berkemampuan melaksanakan perubahan berasaskan kepada kesedaran, kefahaman, keyakinan dan penghayatan roh Islam yang sebenar.

Iklan
Iklan

Untuk ke arah matlamat itu, Haluan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) menganjurkan Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja 2018, Zon Timur di sini, kelmarin.

Penasihat Program, Mustafa Sulaiman berkata, kursus selama 10 hari itu disertai 52 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dari Pahang dan Terengganu.

Iklan

Menurutnya, kursus itu fokus kepada pembentukan jati diri dan kesukarelawanan remaja, melahirkan remaja yang cakna, sayang dan sedia berbakti kepada masyarakat serta berkemahiran berorganisasi, pengurusan dan komunikasi.

"Peserta didedahkan dengan 10 modul bimbingan termasuk modul lanjakan paradigma, kemahiran dan profesionalisme, kemahiran baitul muslim, modul halaqah al-Quran, latihan fizikal dan rekreasi, modul etika siber dan media sosial dan modul khidmat masyarakat.

Iklan

"Sepanjang kursus ini, peserta diasuh untuk berdikari menguruskan diri serta menguruskan masa dengan efektif selain bimbingan kerohanian seperti solat berjemaah setiap waktu, membaca al-Quran dan riadah,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Haluan Pahang berkata, pendidikan menjadi teras dalam memperkasakan jati diri generasi muda.

Justeru, elemen terpenting diterapkan dalam setiap modul adalah proses pendidikan seimbang merangkumi semua aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

"Diharapkan peserta dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman sepanjang kursus ini dengan sebaiknya dan mampu mempraktikkan dalam kehidupan mereka.

"Mereka diharap menjadi remaja yang mempunyai jati diri mantap dan sentiasa mencari peluang berkhidmat dengan sukarela kepada masyarakat dengan akhlak yang baik dan terpuji,” katanya.