JEMAAH haji Malaysia di Tanah Suci turut berpeluang menyambut kempen Malaysia #QuranHour apabila satu program berinteraksi dengan al-Quran dianjurkan di Dataran Masjidil Haram, Makkah pada 30 Ogos lalu.
Seramai 200 jemaah dalam kalangan rakyat Malaysia menyertai aktiviti selama sejam yang dikendalikan oleh Pembimbing Jemaah Haji (Pihtas) yang juga merupakan Penasihat Rumah Ngaji dan Pengasas NGO Alumni Haji Yayasan Amal Mabrur Malaysia, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar.
Ujar Ustaz Mohd Hasnil, semua jemaah haji yang menyertai program Malaysia #QuranHour di Tanah Suci ialah tetamu ALLAH wafdullah yang mana doa mereka mudah dikabulkan ALLAH.
"Ini kerana mereka sedang bermujahadah melaksanakan Rukun Islam ke-5 dan menyantuni al-Quran serta memahaminya dengan bertadabbur di Tanah Suci di bulan mulia," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
Pada hari berkenaan, jemaah memulakan program tersebut dengan melakukan tawaf sunat, solat sunat hajat untuk Malaysia dan solat Dhuha.
Mereka kemudian membaca Surah Al-Kahf beramai-ramai diikuti dengan sesi tadabbur surah berkenaan dan diakhiri dengan doa munajat buat Kesejahteraan Malaysia sebagai Baldatun Toyyibatun Wa Robbun Ghafur.
Mengulas tentang kepentingan Surah al-Kahf dalam kehidupan umat Islam, Ustaz Mohd Hasnil berkata, orang ramai katanya memerlukan cahaya iaitu al-Nur dalam penghayatan hidup beragama, bahkan ia melebihi keperluan cahaya mentari pada siang hari.
"Dengan cahaya ALLAH, maka hidup kita berpedoman dan dipandu dengan taufik serta hidayah-NYA. Kita perlu mengambil ibrah Surah al-Kahf dalam menelusuri kehidupan mencabar di akhir zaman.
"Cabaran akhir zaman termasuk iman, harta, ilmu dan kuasa yang menyebabkan manusia mudah lupa dan lalai. Oleh itu, kita disarankan membaca Surah al-Kahf setiap Jumaat yang penuh berkah. Mudah-mudahan kita mendapat pertolongan ALLAH dalam kerja mujahadah dan jihad sepanjang hayat,” katanya.
Beliau turut berkongsi tentang ibrah Surah al-Kahf yang mana ia mengandungi sejarah orang pemuda yang soleh tertindas pada zaman pemerintahan Kuffar. Namun keyakinan akidah yang tinggi serta pengorbanan yang ikhlas lagi suci, mereka telah mendapat pertolongan ALLAH dengan ditidurkan selama 309 tahun di dalam gua dan dihidupkan kembali pada zaman pemerintahan Islam.
"Pengajarannya, Islam dan perjuangan Islam akan mendapat pertolongan ALLAH di dunia mahupun di akhirat.
"Persoalannya, sejauh mana kita berusaha untuk memenuhi prasyarat kemenangan itu? Pasti ia bermula dengan ilmu dan kesedaran serta kepimpinan dalam hidup beragama," katanya.