VLADIVOSTOK - Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam memaklumkan Rusia mungkin akan menghasilkan peluru berpandu yang dilarang di bawah perjanjian nuklear era Perang Dingin yang berakhir pada bulan lalu.
Putin bagaimanapun memberi amaran akan menggunakannya jika Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah itu terlebih dahulu.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika menyertai Forum Ekonomi di Timur Jauh, Rusia dan turut menggesa Washington supaya tidak meningkatkan perlumbaan senjata antara kedua-dua negara, namun AS tidak memberikan sebarang respons.
Pemimpin Kremlin itu menyuarakan kebimbangan terhadap kenyataan Washington yang mahu menempatkan misil di Jepun dan Korea Selatan yang mana langkah itu didakwa meliputi kawasan wilayah Rusia.
"Sudah tentu kita akan hasilkan misil seperti itu. Kita kecewa mendengar rancangan ketua Pentagon tentang penempatan misil mereka di Tokyo dan Seoul," ujarnya.
Menurutnya lagi, beliau ada membuat tawaran kepada Presiden AS, Donald Trump tentang peluang untuk membeli salah satu senjata nuklear hipersonik yang dibangunkan Moscos, namun jutawan hartanah tersebut menolak dan menyatakan Washington sedang menghasilkannya sendiri.
Tambahnya, beliau bimbang perlumbaan senjata antara kedua-dua negara itu boleh merebak ke angkasa lepas yang membolehkan Washington mengembangkan senjata angkasa baharu.
Konflik tentang kawalan senjata nuklear semakin meningkat selepas AS secara rasmi menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) pada bulan lalu selepas mendakwa Moscow melanggar kandungan perjanjian tersebut. - Reuters