TANAH MERAH - Seorang suri rumah kerugian RM3,000 selepas ditipu wanita dikenali dalam kejadian di Batang Merbau di sini.
Mangsa, Raja Rasiah Raja Ibrahim, 48, berkata, wanita yang dikenali berusia awal 40-an itu sebelum ini sering datang ke gerai makan di hadapan kediamannya.
"Kak anggap dia macam keluarga dan sering makan dan berbelanja mewah di kedai kak boleh dikatakan hampir setiap hari makan pelbagai hidangan termasuk mi celup dan masakan panas.
"Dia selalu bantu juga keluarga kak dan kak terharu di atas kebaikannya, lagipun dia nampak ikhlas dan mahu membantu keluarga selepas mengetahui kak menjaga anak OKU (orang kurang upaya) terlantar sejak terlibat kemalangan empat tahun lalu," katanya.
Raja Rasiah berkata, dia tidak menyangka kebaikan yang ditunjukkan itu rupanya ada maksud tersirat sehinggalah dia akhirnya menyedari ditipu wanita itu.
"Dia kata nak bantu kak dapatkan pinjaman segera untuk tampung belanja bagi besarkan bilik anak OKU kak yang kini duduk dalam bilik sempit.
"Wanita itu minta pendahuluan RM5,000, tapi saya hanya ada RM3,000 dan dia setuju untuk bantu dan tambah lagi RM2,000," katanya.
Raja Rasiah berkata, namun perjanjian itu hanya tinggal janji selepas wanita itu lesap dan tidak muncul lagi di kedai makannya.
"Memang sedih bila ditipu orang yang kita percaya dan saya harap pendedahan saya ini dapat menjadi pengajaran pada pihak di luar sana agar berhati-hati dengan penipuan wanita ini," katanya.