Usah alpa dengan kutipan tiga mata sulung: Cheng Hoe

Iklan
Ketua jurulatih pasukan negara Tan Cheng Hoe bersama Skuad Harimau Malaya tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto Bernama

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain negara supaya tidak terlalu ghairah selepas berjaya meraih tiga mata sulung pada aksi pembukaan kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, Indonesia, malam tadi.

Beliau menegaskan kemenangan tipis 3-2 ke atas musuh tradisi, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno merupakan satu permulaan positif sebelum melayan kunjungan salah sebuah gergasi Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Iklan
Iklan

Pengendali berusia 51 tahun itu mendedahkan, beliau perlu menggunakan pendekatan berbeza apabila menentang pasukan ranking ke-65 dunia itu yang dibarisi beberapa pemain terbaik seperti dua pemain kelab Al Jazira iaitu Omar Abdul Rahman dan Ali Mabkhout.

"Pasukan UAE mempunyai pemain yang baik di setiap posisi, jadi kita harus memberi fokus sepenuhnya dan berhati-hati pada babak awal permainan menentang mereka nanti,"

Iklan

katanya ketika ditemui pemberita setibanya dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

UAE hadir ke Kuala Lumpur dengan reputasi cemerlang selepas merekodkan dua kemenangan pada aksi pemanas badan di Bahrain, iaitu membenam Republik Dominica, 4-0, selain mengatasi Sri Lanka dengan keputusan 5-1.

Iklan

Untuk rekod, Malaysia pernah dimalukan dengan kekalahan 0-10 kepada UAE pada aksi kumpulan A pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2018 (Zon Asia) di Stadium Mohamed Zayed, Abu Dhabi pada 2015.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kemasukan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dari Gambia yang menggantikan Muhammad Hadin Azman pada penghujung babak pertama perlawanan, jelas menukar tempo permainan sehingga membolehkan skuad kebangsaan bangkit untuk menewaskan skuad Garuda di tempat lawan pada perlawanan malam tadi.

"Kehadiran beliau (Sumareh) memberi impak positif dan kita lihat pada separuh masa kedua, pasukan beraksi dengan lebih baik sehingga wisel penamat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelayakan Piala Dunia 2022: Indonesia mohon maaf

Beliau pada masa sama turut berpuas hati dengan kawalan keselamatan oleh pihak tentera dan Polis Metropolitan Jakarta bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai skuad kebangsaan ke hotel penginapan walaupun terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda selepas berakhirnya perlawanan berkenaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe pernah menaiki kereta perisai Barracuda selepas Malaysia menewaskan Indonesia dengan keputusan agregat 4-2 pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2010 di venue yang sama, di mana beliau ketika itu merupakan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan kepada Datuk K. Rajagobal.

Pada aksi semalam, Sumareh yang masuk ke padang selaku pemain gantian pada penghujung babak pertama perlawanan, menjadi wira skuad negara apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan dalam babak kedua.

Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2, dengan penyerang Indonesia kelahiran Brazil, Alberto Goncalves membuka jaringan untuk skuad Garuda pada minit ke-12 sebelum Sumareh menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-37.

Goncalves yang beraksi dengan Madura United, kembali meletakkan Indonesia di hadapan pada minit ke-39, sebelum Muhammad Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Malaya pada minit ke-65. - Bernama