Lantikan MPP PKR: Sudah ambil kira semua kem

Iklan

SHAH ALAM - Individu yang dilantik dalam barisan kepimpinan tertinggi PKR merangkumi semua komuniti dalam parti itu.

Ia termasuk dari kem Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin dan Naib Presiden, Rafizi Ramli, selain individu yang bukan mewakili mana-mana kem.

Iklan
Iklan

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelantikan yang diumumkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah dilakukan di hadapan semua MPP dan mengambil kira pandangan mereka.

Katanya, antara mereka yang datang dari kem Mohamed Azmin termasuklah Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju yang dilantik sebagai Naib Presiden baharu dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Dr Mansor Othman sebagai Pengarah Strategi.

Iklan

"Selain itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang kalah sebagai calon Naib Presiden dengan undi tertinggi dilantik Ketua Penerangan, manakala Lee Khai Loon, calon MPP yang kalah dengan undi tertinggi dilantik ke MPP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi mewakili komuniti Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Sabah, Nik Nazmi berkata, Raymond Ahuar diberi jawatan.

Iklan

"Untuk masyarakat Bumiputera Islam diwakili oleh Rahimah Majid (MPP), manakala Datuk Christina Liew, seorang berbangsa Tionghua merupakan Pengerusi PKR Sabah.

"Pada masa sama, Faizal Sanusi, bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum penggabungan dengan PKR, kemudiannya menjadi Timbalan Ketua AMK yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kem turut dilantik," katanya.

Selain itu, Nik Nazmi berkata, walaupun ramai pemimpin dari kem Mohamed Azmin menang dalam pemilihan parti baru-baru ini, namun kekalahan Rafizi merebut jawatan Timbalan Presiden tidak boleh dipandang ringan.

"Rafizi bukan sahaja kalah dengan tipis, tetapi beliau juga menang di banyak cabang.

"Pemimpin baik (seperti Anwar) akan pastikan dua kem ini akan bekerjasama di dalam parti," katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, sudah tiba masanya PKR dan PH memfokuskan untuk meneruskan agenda pembaharuan serta melaksanakan manifesto kerana rakyat mahukan begitu.

"Sudah tiba masanya kita mengangkat agenda itu - terutamanya untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan ekonomi yang lebih adil sebagai prioriti utama.

"PKR pastinya berbangga dengan kepimpinan pelbagai dan berkebolehan dari seluruh negara, tidak kira lelaki, wanita, tua dan muda. Kita terbuka kepada pelbagai pandangan dalam parti sebagai sebahagian dari demokrasi, tapi kami percaya untuk manfaatkan kepelbagaian untuk kebaikan negara," katanya.

Semalam, Mohamed Azmin menggesa supaya Anwar meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti kerana tidak mencerminkan prinsip 'fair and just representation'.

Beberapa pemimpin dari sayap parti turut membuat desakan itu pada hari sama.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian kerana nama-nama diumumkan sebelum ini sudah diluluskan MPP dan mengambil kira kedua-dua puak berkaitan.