KUALA TERENGGANU – Seorang ibu gusar memikirkan cara menguruskan anaknya, Shahrun Nizam Omar, 42, yang terlantar akibat gout kronik sejak lima tahun lalu.
Chik Mohd, 70, berkata, sebelum ini dia dan suami, Omar Ismail, 69, bersama-sama menguruskan anak mereka.
Bagaimanapun, sejak lumpuh kedua belah kaki akibat penyakit saraf dua tahun lalu, dia tidak mampu membantu malah hanya bergantung harap kudrat suami.
"Sebelum ini kami mengangkat Shahrun untuk dimandikan atau ke tandas. Kini dia terpaksa mengesot sendiri.
"Bantuan suami juga terbatas kerana saiz badan anak saya yang agak besar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chendering Pantai semalam.
Menurutnya, shahrun dikesan menghidap gout selepas kemalangan jalan raya.
"Sendinya lemah dan membengkak terutama pada tangan dan kaki. Bahagian badan yang lain termasuk lengan dan betis juga membonjol dan mengeluarkan cairan putih. Dia juga ada masalah saraf,” katanya.
Chik berkata, dia tidak mampu membawa anaknya menjalani rawatan dan hanya menggunakan ubat tradisional.
Keluarga itu bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM250 sebulan.
Sementara itu, Omar yang juga pesara tentera berharap ada pihak menghulur sumbangan bagi membolehkan dia menyediakan katil sesuai untuk anaknya.
"Kalau dulu ada isteri bantu, kini segala-galanya berubah sejak dia lumpuh. Saya tak mampu untuk uruskan seorang diri,” katanya.
Mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi 010-9221457 atau melalui akaun BSN 11114-41-00004588-5 (Shahrun Nizam) atau 11114-29-87735996-4 (Chik Mohd).