Pokok tertinggi di Amazon terselamat daripada kebakaran

Iklan
Spesies pokok gergasi Dinizia Excelsa boleh mencecah ketinggian sehingga 60 meter.

BRASILIA - Kumpulan saintis mendakwa mereka telah menemukan spesimen luar biasa spesies pokok gergasi Dinizia Excelsa setinggi 88 meter (m) dengan lilitan 5.5m yang terselamat daripada kebakaran di hutan hujan Amazon di Brazil baru-baru ini.

"Ketinggian spesies itu biasanya boleh mencecah sehingga 60m. Ia adalah penemuan yang hebat dan kini menjadi komitmen kami untuk memelihara pokok terbesar di Amazon yang kaya dengan sumber daya alam itu,” kata penyelaras penyelidik, Eric Bastos.

Iklan
Iklan

Bastos mengetuai kajian yang dilakukan para saintis dari Federal University of the Valleys of the Jequitinhonha, Cambridge University dan University of Swansea yang dijalankan pada bulan lalu.

Penemuan itu dibuat menggunakan sensor udara di Hutan Negara Paru di negeri Amapa dan Para yang terletak dalam lembangan Amazon.

Iklan

Difahamkan, habitat pokok Dinizia Excelsa itu terletak di luar kawasan terjejas akibat kebakaran besar di Amazon yang turut mencetuskan kebimbangan negara antarabangsa.

Menurut National Geographic, saintis turut membuat penemuan pokok tropika tertinggi di dunia iaitu pokok meranti setinggi 100m di Pulau Borneo, Sabah pada awal tahun lalu.

Iklan

Pokok tertinggi di dunia adalah spesies California redwoods yang ukurannya mencecah sehingga 115.7m. - AFP