JOHOR BAHRU - Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang sudah berpuluh tahun mendiami aset berkenaan akan diberi keutamaan bagi proses pembelian Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ).
Exco Perumahan negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu juga sebagai alternatif lain diambil kerajaan negeri untuk membantu golongan berkenaan memiliki rumah memandangkan aset berkenaan tidak boleh dijual.
"Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk kita mengekalkan PPR yang sedia ada, bagaimanapun kita mempunyai pilihan lain untuk membantu mereka ini memiliki rumah idaman mereka sendiri.
"Antara yang saya telah jelaskan, kita akan menawarkan RMBJ kategori A berharga RM42,000 yang berada di sekitar kawasan Johor Bahru kepada mereka secara skim sewa beli Jauhar Prihatin di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Skim Prihatin Perumahan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Pemimpin bersama Penduduk di PPR Sri Stulang di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.
Dzulkefly berkata, pengekalan PPR di seluruh negeri ini dan tidak terbuka untuk dijual bagi memastikan kemudahan itu dapat digunakan sepanjang zaman khususnya generasi muda yang baharu berhijrah ke bandar.
"PPR ini perlu dikekalkan untuk kita memberi peluang kepada generasi baharu di bandar pada kadar sewa minimum serendah RM124 sebulan sebelum mereka mampu membeli rumah sendiri.
"Jika semua PPR kita sudah jual, maka kita tiada lagi rumah transit untuk belia-belia kita yang baharu membina kerjaya atau baharu kahwin hidup di bandar, itu sebab kita perlu kekalkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri selepas ini juga akan menyelaraskan tempoh penggunaan rumah PPR sebagai transit hanya untuk lima tahun sahaja.
"Dengan cara ini, ramai orang akan mendapat manfaatnya selain kita tahu ia bukan digunakan oleh satu pihak sahaja,” katanya.
Untuk rekod, sehingga kini terdapat sebanyak 10 unit rumah PPR yang dibina di kawasan bandar di negeri ini selain 10 lagi akan dibina menjelang tahun 2023.