Perak tidak sekat kempen tapi jangan sampai boikot

Iklan
Ahmad Faizal (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Merdeka@Komuniti peringkat negeri Perak di Arena Merdeka Tapah hari ini.

TAPAH - Kerajaan Perak mengalu-alukan sebarang usaha untuk mempromosikan produk Muslim dan halal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu bagaimanapun tidak perlulah sampai mengenepikan barangan keluaran pengusaha bangsa lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai sebuah negara majmuk, setiap pendekatan diambil perlulah mengambil kira sensitiviti semua pihak bagi memastikan keharmonian kaum terus terpelihara.

"Komitmen kerajaan Perak adalah 'Buy Malaysian First', tetapi kempen yang lain ini pada saya tidak perlulah kita terlalu gembar gemburkan.

Iklan

"Kalau nak promosikan produk Muslim dan Bumiputera, silakan itu terpulang, tetapi jangan pula sampai menggalakkan orang ramai memboikot produk bukan Muslim," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kempen tersebut.

Ahmad Faizal ketika mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena program Merdeka@Komuniti peringkat negeri Perak di Arena Merdeka Tapah hari ini.

Beliau berkata, setiap rakyat mempunyai tanggungjawab terhadap bumi yang dikongsi bersama demi menjaga keamanan generasi masa hadapan.

Iklan

"Saya fikir elok kita mengambil berat tentang apa yang dititahkan Sultan Perak untuk kita terus memelihara keharmonian.

"Ia bermula dengan ucapan kebencian yang mana boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak baik kepada negeri kita," katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu berkata, setakat ini belum ada ketetapan baharu dibuat.

Kibaran Jalur Gemilang sempena program Merdeka@Komuniti peringkat negeri Perak di Arena Merdeka Tapah hari ini.

Katanya, sebarang perubahan termasuk hal melibatkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong akan dimaklumkan kepada umum menerusi kenyataan rasmi.

"Jika ada yang tertanya-tanya mengenai perkara itu, sila hapuskan kerana apabila ada perubahan, sudah tentu kita akan maklumkan untuk memudahkan dan melicinkan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal merasmikan program Merdeka@Komuniti peringkat negeri Perak di Arena Merdeka Tapah hari ini yang turut dihadiri Pengarah Penerangan Negeri, Mohd Taib Ubah.