KOTA BHARU - Bagi mendapatkan pandangan dan gambaran jelas mengenai situasi semasa, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) telah mengadakan satu pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah terutamanya membincangkan isu anak-anak muda negara.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya mengambil berat semua nasihat Tengku Razaleigh dan akan mencari solusi terbaik melibatkan masalah belia miskin bandar dan belia yang tertindas di luar bandar.
"Ini menjadi titik mula kepada politik matang anak muda blok pembangkang untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada seorang negarawan yang berjasa besar kepada negara Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, Tengku Razaleigh juga turut menasihatkan mereka bahawa kestabilan ekonomi adalah keutamaan terpenting bagi menjaga keharmonian di dalam negara.
Malah, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil tindakan segera untuk memulihkan ekonomi tanah air sebelum menjadi lebih parah pada tahun hadapan.
"Rakyat yang paling terkesan dengan kemelesetan ekonomi kerana kos sara hidup terus meningkat dan peluang pekerjaan makin mengecil.
"Kita juga bersetuju untuk terus memperkukuhkan dan membina hubungan permuafakatan bersama blok pembangkang, terutama Pemuda UMNO, MCA dan MIC yang merangkumi pelbagai kaum atas semangat Bangsa Malaysia sebenar," katanya.
Shahir berkata, ia demi membina negara Malaysia yang bersatu-padu, adil dan saksama, serta masyarakat yang bahagia.
"Hubungan politik bersama Pemuda Pas terus menjadi tunjang dan dasar permuafakatan di dalam Gagasan Sejahtera.
"Kita berharap anak muda terus bersama-sama kami dalam mengemudi cabaran pada era PH hari ini," katanya
Menurutnya, dasar-dasar kerajaan hari ini dilihat terus menekan dan menindas anak-anak muda, walhal anak muda inilah yang bakal meneruskan legasi Malaysia pada masa hadapan.
"DPIM sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih di atas kesudian Tengku Razaleigh sebagai seorang negarawan ulung yang meluangkan masa berbincang dan memberi nasihat berkaitan cabaran anak muda," katanya.