"Turunkan papan tanda bahasa Mandarin"

Iklan
Surat rasmi kepada kerajaan negeri berkenaan isu papan tanda jalan dwibahasa yang hangat diperkatakan.
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan supaya papan tanda jalan yang menggunakan bahasa Mandarin diturunkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan bahasa tunggal, iaitu bahasa Melayu.

Setiausaha Sulit Kanan Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu surat rasmi kerajaan negeri menjelaskan titah baginda berkenaan isu papan tanda jalan dwibahasa yang hangat diperkatakan sejak seminggu ini.

"Saya dengan hormatnya menjunjung titah Sultan Selangor berkenaan papan tanda jalan dwibahasa. Baginda telah menitahkan supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

"Operasi penukaran papan tanda jalan ini hendaklah dilaksanakan dengan segera dan dapat diselesaikan selewat-lewatnya sebelum tarikh Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-73 Sultan Selangor iaitu pada 11 Disember 2018," katanya.

Berdasarkan salinan, surat rasmi bertarikh 19 November itu dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya untuk makluman dan tindakan serta untuk perhatian Datuk Bandar Shah Alam.

Terdahulu, aktivis masyarakat, Datuk Mohd Razlan Rafii menerusi media sosial mempersoalkan kewujudan papan tanda jalan yang menggunakan dwibahasa termasuk bahasa Mandarin, sedangkan kebiasaannya menggunakan bahasa Melayu menerusi prosedur kelulusan pihak berwajib.

Beliau turut menempelak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kini dilihat seperti tiada kuasa dalam proses kelulusan penggunaan bahasa pada papan tanda sebelum menyarankan agar institusi itu ditutup sahaja jika sudah tiada kuasa dalam bidangnya.

"Sekiranya DBP sudah tidak lagi punyai kuasa atau pun kuasanya sudah ditarik, elok tutup saja daripada membazirkan wang rakyat,” katanya