Remaja hilang: Selisih faham dengan sepupu

Iklan
Operasi pencarian yang dilakukan melibatkan polis, bomba, Rela dan APM dijalankan di sekitar Kampung Chuar sejak semalam. Gambar kecil, Izzuddin ditemui selamat oleh pasukan peronda polis.

KUALA KANGSAR - Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas singgah di Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Chuar, Kati di sini semalam ditemukan selamat.

Mangsa, Izzuddin Syuib, 18, yang berasal dari Kupang, Kedah ditemui oleh pasukan peronda polis di tepi jalan berhampiran Hentian Bas Sauk yang terletak kira-kira lima kilometer (km) dari masjid tersebut pada jam 5.10 petang.

Iklan
Iklan

Difahamkan, perselisihan faham bersama sepupunya menjadi punca utama remaja terbabit membawa diri ke hutan berhampiran.

Mangsa bersama sepupu dan dua rakannya dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Kuala Lumpur telah singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat jamak sebelum mangsa disedari hilang.

Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan calar di tangan dan kaki tanpa kecederaan serius di tepi Jalan Kuala Kangsar-Baling.

"Mangsa yang berseluar pendek dijumpai oleh pegawai kita yang membuat rondaan di sepanjang jalan ke Sauk ini.

Iklan

"Mangsa dibawa mendapatkan rawatan awal oleh pasukan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Menurutnya, dengan penemuan mangsa, tiada elemen jenayah ditemui dan kes dianggap selesai.

"Kita akan buat siasatan seterusnya untuk dilengkapkan secara rasmi sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Terdahulu, operasi mengesan mangsa yang dijalankan seawal jam 8 itu berjaya menemui selipar dan pengecaj telefon bimbitnya di ladang kelapa sawit kira-kira 700 meter dari kawasan masjid.

Berdasarkan petunjuk itu, pencarian diperluaskan sehingga 4km persegi melibatkan 15 anggota polis, 27 anggota bomba dan masing-masing enam anggota Rela dan APM.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja hilang selepas ke tandas