KUALA TERENGGANU - Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris menempelak tindakan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How yang menggunakan nama Nabi Muhammad SAW dalam satu kenyataan semalam yang didakwa berkepentingan politik.
Beliau berkata, tindakan menyertakan contoh sirah Nabi Muhammad tidak kena pada tempatkan malah menggambarkan sikap 'mengambil berat' parti itu terhadap hal ehwal melibatkan orang Islam di negara ini.
"Nasihat saya kepada DAP, jangan menggunakan elemen agama Islam dalam kenyataan atau tindakan politik kerana akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Pemimpin DAP perlu berhenti menyalahkan UMNO dan Pas serta masyarakat terhadap perkara yang berlaku pada hari ini kerana perpecahan yang terjadi di Malaysia adalah berpunca daripada mereka sendiri yang bersifat cauvenis, rasis serta radikal," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata dalam kenyataan itu, Howard Lee turut mendesak UMNO dan Pas menyatakan pendirian sama ada menyokong atau membantah kempen membeli produk Bumiputera.
"Seperti biasa, DAP akan mempolitikkan segala benda dengan mengatakan kempen ini adalah boikot yang akan memecahbelahkan masyarakat Malaysia.
"Sebenarnya, DAP perlu faham bahawa ia bukan boikot, tetapi mengutamakan produk Muslim yang akan mewujudkan persaingan yang sihat dan membantu usahawan Bumiputera yang menjadi majoriti di negara ini," katanya.
Tambahnya lagi, kuasa membeli adalah hak mutlak pengguna dan mereka bebas untuk memilih barangan di pasaran.
"Mengapa DAP begitu sensitif mengenai perkara yang melibatkan Muslim, di mana suara ahli DAP yang berbangsa Melayu dan agama Islam? Bukankah mengutamakan produk Muslim adalah salah satu cara membantu saudara sesama agama?," katanya.
Terdahulu, Howard Lee dalam kenyataannya mendakwa, pemimpin Pas dan UMNO seolah-olah mengelak dan hanya mampu menyatakan sokongan kepada produk Muslim apabila ditanya mengenai gerakan memboikot produk dan perniagaan bukan Bumiputera.
"Pasangan mempelai UMNO dan PAS yang baru rasmi bernikah ini perlu menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong atau mengecam gerakan boikot tersebut, dan tidak berdolak-dalik dalam isu boikot yang boleh memecahbelahkan masyarakat kita.
"Jika dicermati sirah Nabi Muhammad SAW, Madinah yang dipimpin oleh Baginda sendiri membenarkan kaum Yahudi berniaga dan berjual beli dengan orang Islam. Penggerak serta pengikut boikot ini harus mengambil iktibar dan pengajaran besar daripada akhlak dan tauladan baik seperti ini," tulisnya.
Dalam pada itu, Howard Lee turut mempertikaikan tindakan yang didakwa memboikot barangan bukan Bumiputera atas dasar kewujudan masyarakat majmuk di negara ini.
"Masyarakat dari negara yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang seperti Malaysia tidak boleh memboikot sesuatu produk secara melulu hanya berdasarkan perbezaan agama. Kemajmukan ini merupakan aset yang seharusnya kita terus pertahankan dan raikan.
"Memboikot produk oleh bukan Islam secara taksub dan melulu adalah bertentangan dengan norma masyarakat berbilang keturunan di negara kita. Boikot tidak akan membantu ekonomi, malah memerangkap pengguna dengan permainan politik yang merugikan serta menggugat perpaduan negara," tambahnya lagi.