LZS jawab pekeliling yang tular di media sosial

Iklan

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan bahawa pengagihan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam sahaja dan menafikan ia disalurkan kepada agama lain.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, LZS tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk parti politik dan fokus tertumpu untuk menyantuni asnaf di Selangor serta meningkatkan taraf kehidupannya.

Iklan
Iklan

Menjawab isu tular yang tersebar baru-baru ini berkenaan motto: Manfaat Zakat Untuk Semua katanya, terdapat kekeliruan mengenai perkara ini.

"Bagi tahun 2019, LZS mengubah motto lama iaitu 'Meneraju Perubahan' kepada 'Manfaat Zakat Untuk Semua' yang membawa maksud luas, menggambarkan bahawa ibadah zakat walaupun hanya dikhususkan kepada umat Islam tetapi manfaatnya dinikmati oleh semua masyarakat dalam kitaran ekonomi dan sosial. Ini selaras dengan peranan zakat yang mensucikan dan menyuburkan.

Iklan

"Skop pengagihan zakat di Selangor yang diuruskan oleh LZS berdasarkan hukum syarak. Ia meliputi lapan kategori asnaf seperti yang dijelaskan dalam surah at-Taubah ayat 60," katanya dalam satu kenyataan media mengenai isu tular pekeliling LZS di media sosial dan WhatsApp, hari ini.

Katanya, ia adalah pekeliling dalaman untuk makluman warga kerja LZS sahaja selepas diluluskan Mesyuarat Pemegang Amanah untuk urusan rasmi kepada pihak luar.

Iklan

"LZS sentiasa patuh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan Peraturan-Peraturan Zakat Dan Fitrah (Negeri Selangor) 2012 dalam melaksanakan operasi agihan dan kutipan zakat di Selangor dan dipantau oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

"LZS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh umat Islam terutama di Selangor yang prihatin berkenaan perkembangan LZS serta sentiasa memberi pandangan yang membina untuk kemajuan ummah," katanya.

Berikut kenyataan media penuh disini: