SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM27.9 juta tahun ini bagi meningkatkan hasil dan pendapatan agropeneur di sektor pertanian.
Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, ia meliputi bidang tanaman, penternakan, nelayan, akuakultur serta industri asas tani (IAT).
Menurutnya, sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor bagi sektor pertanian adalah paling rendah iaitu hanya pada tahap 1.5 peratus dengan nilai RM3.98 bilion tahun lalu, jika dibandingkan dengan sektor lain.
"Kerajaan negeri komited mendukung usaha menjadikan sektor pertanian bukan sekadar sumber ekonomi sampingan, bahkan memartabatkan ia sebagai peneraju ke arah menjadikan negeri ini gedung kuasa ekonomi serantau.
"Jasa golongan petani, penternak dan nelayan di Selangor tidak akan dilupakan. Sumbangan mereka dalam menyediakan bekalan makanan kepada seluruh rakyat negeri ini akan sentiasa dibela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest 2019 bertemakan Pemodenan Pertanian ke Arah Kehidupan Lestari di tapak Bazarena Stadium Shah Alam di sini.
Amirudin berkata, pertanian menjadi sektor terpenting dan diberi tumpuan tinggi bagi memastikan bekalan makanan sentiasa berada pada paras yang selamat khususnya di Selangor.
"Lima dasar dilaksanakan dalam memastikan bekalan makanan atau food security Selangor berada di tahap selamat dan dalam masa sama meningkatkan pendapatan agropreneur serta amalan pertanian lestari.
"Antaranya mengenal pasti sektor pertanian yang bernilai tinggi untuk diceburi, pembangunan pertanian, pembangunan agropreneur, program galakan pemasaran dan agro pelancongan,” katanya.
Terdahulu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mengambil langkah berani memperkenalkan Pengklusteran Ekonomi.
Katanya, daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor dijadikan sebagai kluster pertanian bermula tahun ini.
"Melalui pelaksanaan tersebut, kerajaan negeri memberi lebih tumpuan dalam memajukan kawasan tersebut sebagai daerah peneraju dengan pelaksanaan projek pertanian,” katanya.
"Ia dilaksanakan dengan pembukaan lebih banyak kawasan tanah baharu berkonsepkan pertanian moden dan berteknologi tinggi,” katanya.