KUALA LUMPUR - Pelajar jurusan psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dusha Nanthakumar dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik dalam Siri Pertama Debaton Parlimen 2019 (Belia) malam ini.
Pelajar semester kelima yang berdebat mewakili pembangkang itu mendapat 1,257 undian dari atas talian sekaligus mengatasi 45 lagi pendebat lain.
Dusha yang ditemui selepas persidangan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membuka peluang buatnya menyertai debat tersebut.
"Sebelum ini saya biasa menyertai pertandingan debat Bahasa Inggeris namun bila saya tahu debat ini dalam Bahasa Melayu, saya mencabar diri untuk menyertainya.
"Saya bersyukur kerana diberi penghargaan sebegini. Terima kasih kepada ibu bapa saya, ahli keluarga dan semua orang yang menyokong saya sehingga saya boleh sampai ke tahap ini,” katanya.
Tambah anak muda berusia 22 tahun itu, suasana dan pengalaman berdebat di Bangunan Parlimen sangat berbeza berbanding pertandingan debat disertainya sebelum ini.
"Suasananya memang sangat berbeza. Saya fikir ini adalah pengalaman baru buat saya. Sejujurnya, saya berbangga menjadi sebahagian daripada program ini,” ujarnya.
Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan debat itu memuji kualiti pendebat-pendebat muda dalam program tersebut.
Menurutnya, hujah-hujah yang diutarakan juga bernas dan melihat kepada kualiti anak muda dalam program itu, beliau yakin Malaysia akan membangun dengan cepat.
Seramai 46 orang belia membahaskan usul berkaitan masa depan pekerja prekariat dalam Debaton Parlimen 2019 (Belia) di Dewan Persidangan, Bangunan Parlimen, malam tadi.
Debat yang mengangkat tajuk 'Pekerja Prekariat dalam Ekonomi Gig' dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Bermula pada jam 8.30 malam, pendebat-pendebat berumur antara 16 dan 25 tahun melontarkan hujah-hujah konkrit untuk meyakinkan hadirin sebelum mereka mengundi untuk menyokong atau menentang usul dibangkitkan.