KUANTAN - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang menjadi perintis penubuhan Pasukan Sukarelawan Jakoa (JPVT) pertama di Malaysia dalam usaha memantapkan sistem penyampaian ke peringkat akar umbi.
Ketua Pengarah Jakoa Malaysia, Profesor Dr Juli Edo berkata, pasukan yang terdiri kalangan belia dan beliawanis berusia 18 hingga 40 tahun ini akan bertindak sebagai pembawa mesej dalam menghubungkan jabatan dengan orang asli.
Menurutnya, dalam mendepani cabaran zaman yang melalaikan dengan media sosial dan kedudukan sosio ekonomi yang meningkat, kedudukan anak-anak orang asli cenderung berada dalam keadaan yang sukar dikawal.
"Menerusi kegiatan sebegini kita boleh menjadikan kebebasan mereka bermanfaat kepada diri, keluarga dan kampung mereka sendiri malah mereka akan menjadi sukarelawan pada masa masa kritikal seperti bencana dan lain-lain aktiviti bersepadu anjuran Jakoa.
"Kursus yang dihadiri mereka akan memberi pendedahan teknik dan kemahiran asas berkaitan tugasan dan aktiviti sukarelawan terhadap kaum asli. Saya percaya kita dapat membina jati diri belia, beliawanis orang asli," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kursus Sukarelawan tersebut di sebuah resort di sini yang berlangsung selama lima hari,sejak 2 September lalu.
Turut hadir, Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Isa Ab Hamid dan Penyelaras Media, Muz'hafar Kamal Mohd Nor.
Juli berkata, pasukan sukarelawan pertama ini mendapat penyertaan 120 orang dari 11 daerah di negeri ini.
Pihaknya menyasarkan sehingga lebih 30 peratus daripada jumlah 30,000 belia dan beliawanis di negeri ini menjadi sukarelawan pada masa akan datang.
"Sekiranya negeri-negeri lain turut mengambil pendekatan melaksanakan program sukarelawan ini, saya yakin masalah sosial dan sosioekonomi kalangan warga orang asli dapat ditangani dengan baik di masa depan.
"Tahniah Jakoa Pahang kerana ini merupakan inisiatif negeri ini sendiri dan Jakoa Pusat akan sentiasa memberikan sokongan. Walaupun rumit jabatan ini mampu melaksanakannya dan saya harap ia akan dilakukan secara berterusan serta dicontohi negeri lain," katanya.
Terdapat kira-kira 68,000 orang asli di negeri ini daripada 178,000 keseluruhan di Malaysia. Kita menganggarkan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan itu terdiri kalangan kanak-kanak dan belia berusia 12 hingga 40 tahun.
Sementara itu kursus tersebut sukarelawan didedahkan dengan program transformasi minda insan seperti ceramah Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Pertahanan Awam Pahang; simulasi kerja lapangan dan latihan fizikal.