KKM bentang akta kawal vape, shisha di Parlimen Mac depan

Iklan
Gambar hiasan sumber Internet (Gambar kecil: Dr Dzulkefly Ahmad)

KUCHING - Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan akta baharu berkaitan penggunaan tembakau, ‘vape’, rokok elektronik dan shisha di Parlimen selewat-lewatnya pada persidangan sesi Mac 2020.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM ketika ini dalam fasa akhir dalam penelitian untuk menggubal akta berkenaan yang disifatkan lebih menyeluruh serta dapat menangani pelbagai isu terkini.

Iklan
Iklan

"Kita hampir di penghujung perbincangan bersama Peguam Negara dan sangat mengharapkan dapat membentangkannya di Parlimen pada suku yang pertama sebelum Mac tahun hadapan,” katanya selepas menghadiri larian ‘Stop The Stigma’ anjuran Hospital Umum Sarawak di Bangunan DUN lama di sini hari ini.

Menurutnya, akta itu merangkumi bukan sahaja tembakau tetapi beberapa sisi lain yang bersangkutan dengan nikotin yang terdapat di dalam ‘vape’ ataupun rokok elektronik.

Iklan

Sebelum ini, Timbalan Menteri, Dr Lee Boon Chye mengetuai jawatankuasa khas yang melihat kepada persoalan mengenai vape dan shisha yang membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk tembakau yang mengandungi nikotin.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, acara larian dianjurkan adalah untuk membangkitkan kesedaran masyarakat sejagat mengenai kepentingan kesihatan mental serta masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.

Iklan

"Di Malaysia, trend tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja telah menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati prevalen idea bunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13-17 tahun adalah 10 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012,” katanya. - Bernama