KLANG - Cadangan untuk menggantikan jet pejuang jenis Rusia SU dan MiG yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan jet pejuang versi baharu adalah bergantung kepada keadaan kewangan negara.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata cadangan itu masih dalam peringkat kajian malah kerajaan akan melihat terlebih dahulu kesesuaiannya untuk menggantikan jet pejuang berkenaan.
"Aset pertahanan milik negara memang sudah usang dan perlu diganti. Namun, kita akan lihat kesesuaiannya (untuk menggantikan jet pejuang sedia ada dengan versi baharu).
"Ia (langkah pembelian jet pejuang baharu) bergantung kepada kedudukan kewangan negara dan rundingan (antara Malaysia dan Rusia mengenai pembelian itu),” katanya dalam sidang media selepas melepaskan kira-kira 12,000 peserta acara larian ‘Run For Peace 2019’ anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia di sini, hari ini.
Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia amat berhati-hati untuk berbelanja terlalu banyak wang menggantikan kedua-dua jenis jet pejuang buatan Rusia dengan versi baharu itu.
Dr Mahathir turut menyifatkan penggunaan wang yang terlalu banyak untuk membeli jet pejuang mahal amat tidak produktif kepada negara kerana Malaysia tidak mahu berperang dengan mana-mana pihak.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia timbang tawaran jet pejuang baharu Rusia
Dalam pada itu, Mohamad berkata, siasatan insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah pada Rabu lalu masih dijalankan namun yakin ia tidak mengambil masa terlalu panjang.
"Perkara ini masih dalam siasatan. Ia adalah suatu kemalangan. Sekejap saja siasatan itu, tidak lama,” katanya.
Dalam insiden itu, Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah. - Bernama