HARARE - Bendera Zimbabwe berkibar setengah tiang di Harare semalam susulan kematian bekas presiden Robert Mugabe namun kebanyakan warganya memilih menjalani rutin harian seperti biasa daripada berkabung.
Jumaat lalu Presiden Emmerson Mnangagwa mengumumkan tempoh berkabung susulan kematian Mugabe di Singapura pada umur 95 tahun, dua tahun selepas beliau digulingkan daripada pemerintahan yang bertahan selama lebih tiga dekad.
"Kami tidak berkabung, mengapa kami harus berkabung sedangkan kami menderita seperti ini," kata Ozias Mupeti, 55, seorang penjual halia di Harare.
Penjual aiskrim, Tendai Marange yang mempunyai tiga orang anak berkata, dia akan berkabung hanya setelah mayat Mugabe dihantar pulang ke Zimbabwe.
"Kami perlu terus bekerja kerana kehidupan amat sukar sekarang," kata Marange.
Sementara itu, hanya segelintir penyokong dilihat berjalan di Harare dengan memakai t-shirt dengan wajah Mugabe.
"Mugabe memberi pendidikan dan biasiswa kepada kebanyakan warga Zimbabwe. Meskipun gagal dalam perkara lain, namun dalam bidang pendidikan, Mugabe berjaya," kata Bhobhi.
Dalam pada itu, kerajaan Zimbabwe dijangka mengumumkan bila mayat Mugabe akan dihantar pulang dan butiran pengebumian dalam masa terdekat.
Mugabe mula meraih kuasa pada tahun 1980 susulan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum pertama Zimbabwe namun pemerintahan beliau kini dikenang berikutan dasar yang menghancurkan ekonomi negara itu. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Robert Mugabe meninggal dunia pada usia 95 tahun