KUCHING - Sri Aman mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat menjadikan kesemuanya tiga kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200, setakat jam 8 pagi tadi.
Ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, bacaan IPU di Sri Aman meningkat dari 175 pada 8 malam tadi kepada 229 pagi ini.
Dua lagi kawasan yang merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat sebelum ini terus mencatatkan peningkatan dengan Kuching 232 berbanding 227 pada 8 malam tadi manakala Samarahan 213 berbanding 202.
Lima lagi kawasan kekal mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan beberapa daripadanya menunjukkan peningkatan pagi ini berbanding 8 malam tadi iaitu Sarikei (164 berbanding 136), ILP Miri (137 berbanding 117) Sibu (161 berbanding 103) dan Miri (149 berbanding 151).
Mukah yang merekodkan bacaan IPU sederhana malam tadi beralih kepada tidak sihat dengan bacaan IPU 101 pagi ini.
Sementara itu, IPU semua kawasan di Sabah mencatatkan bacaan sederhana setakat 9 pagi ini.
Menurut laman sesawang JAS, Labuan mencatatkan bacan IPU 84, Politeknik Kota Kinabalu (78), Kota Kinabalu (70), Kimanis (69), Sandakan (57), Tawau (55) dan Keningau (67).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Orang ramai boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU terkini. - Bernama