Rekod kedatangan guna mesin imbas wajah

Iklan
Nur'asikin memberi penerangan tentang mesin pengimbas wajah yang ditempatkan di pejabat SMKTAA.

ALOR SETAR - Selepas menjadi sekolah pertama di Kedah merekodkan kedatangan menggunakan mesin pengimbas jari, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Aziz (SMKTAA), Simpang Empat di sini, mengorak selangkah lagi apabila menggunakan mesin pengimbas wajah bagi tujuan berkenaan.

Pengetuanya, Nur'asikin Othman berkata, mesin yang ditempatkan di pejabat sekolah itu dilancarkan pada 27 Ogos lalu dan terhad kepada 100 pengguna sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penggunaan mesin ini bertujuan untuk mengatasi masalah pelajar dan guru yang tidak dapat menggunakan mesin pengimbas jari yang digunakan sekolah itu sebelum ini.

"Terdapat sesetengah guru dan pelajar yang cap jari mereka tidak dapat dibaca oleh mesin terbabit. Jadi kita memperkenalkan mesin pengimbas wajah ini yang lebih mesra pengguna.

Iklan

"Guru dan pelajar hanya perlu berdiri di hadapan mesin berkenaan untuk diimbas wajah mereka setelah pendaftaran kali pertama dilakukan," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Nur'asikin berkata, mesin itu juga membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

Iklan

"Pelajar yang bermasalah di sekolah diwajibkan menggunakan mesin ini untuk merekod kedatangan mereka.

"Jika sebelum ini mereka ambil ringan apabila kita rekodkan kedatangan melalui imbasan cap jari. Tetapi dengan sistem imbasan wajah ini peraturan sekolah lebih ketat kerana wajah mereka diimbas di skrin mesin terbabit.

"Sebarang kesalahan yang dilakukan, guru-guru dapat mengenalpasti identiti mereka dengan lebih mudah kerana mesin ini dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah yang mana segala rekod kedatangan dan masalah disiplin pelajar disimpan dalam aplikasi berkenaan," katanya.

Nur'asikin berkata, sejak sekolahnya menggunakan aplikasi berkenaan masalah pelajar pulang awal sebelum tamat sesi persekolahan dapat dicegah.

"Peratus pelajar ponteng kelas juga sudah berkurangan, ini kerana semua guru boleh membuat laporan dalam aplikasi ini sekiranya ada pelajar yang ponteng ketika sesi pembelajaran berlangsung.

"Laporan itu kemudiannya akan diterima oleh saya dan juga guru disiplin dengan lebih cepat dan mudah," katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan enam, Siti Mahfuzah Hamdan, 18, berkata, inisiatif yang diambil oleh sekolahnya itu patut dicontohi oleh sekolah lain.

"Selain bertindak mengurangkan masalah disiplin di sekolah penggunaan mesin ini juga dapat menjimatkan masa guru yang tidak perlu lagi menanda kedatangan pelajar setiap pagi," katanya.

Untuk rekod, SMKTAA sebelum ini menempatkan empat mesin pengimbas cap jari pada 7 Januari lalu bagi merekodkan kedatangan pelajar.