KUALA LUMPUR - Lima individu termasuk empat ahli politik akan dipanggil polis minggu hadapan bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat penceramah bebas, Dr Zakir Naik atas tuduhan memfitnahnya.
Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat makluman untuk memanggil individu-individu terbabit, namun mereka masih belum tampil.
"Minggu depan, kita akan pastikan mereka sampai untuk kita rekod keterangan bagi bantu siasatan polis," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.
Zakir atau nama sebenarnya Zakir Abdul Karim Naik membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 11.50 pagi, 16 Ogos lalu.
Berdasarkan laporan polis dibuat Zakir, pendakwah dari India itu mendakwa kelima-lima individu yang dinamakan telah memfitnah berdasarkan kenyataan disiarkan di media sosial dan laman sesawang mereka berhubung syarahan dibuatnya di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos lalu.
Dalam laporan itu, Zakir turut menyenaraikan 11 pautan artikel yang didakwa kenyataan fitnah dibuat oleh lima individu dinamakan itu.
Zakir berkata, kenyataan media dan artikel berkenaan telah memesong dan mengelirukan orang ramai berhubung maksud sebenar ceramahnya semasa berdakwah mengenai keamanan serta keharmonian antara rakyat di negara ini.