Kajian kemiskinan PBB dibawa ke Parlimen

Iklan
Anwar: - Foto Zahid Izzani

SERI KEMBANGAN - Isu kajian kadar kemiskinan dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendapati kemiskinan negara dianggarkan pada 15 peratus sudah dibawa ke Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu itu sudah dibawa ke kaukus berkenaan pada dua minggu lalu dan maklumat mengenai ulasan kajian itu akan dibentangkan kepada seluruh ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

"Kita sudah bawa dua minggu lalu kepada Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus dan kita putuskan bahawa kita akan maklumkan ulasan kajian ini kepada seluruh ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) hari ini.

Sebelum ini, PBB mendakwa situasi kemiskinan jauh lebih buruk daripada digambarkan kerajaan.

Iklan

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 tidak realistik kerana penanda aras rendah.

Sebaliknya kata Alston, kadar kemiskinan yang sebenar kira-kira 15 peratus, namun kerajaan tidak bersetuju dengan laporan pelapor khas PBB itu.

Iklan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan akan mengambil tindakan berhubung laporan garis kemiskinan itu.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, masih terlalu awal untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kajian kemiskinan seperti dicadangkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya kajian kemiskinan dikeluarkan PBB itu dikaji Unit Perancang Ekonomi dan pakar-pakar ekonomi dari institusi pengajian tinggi.

"Di peringkat ini, keputusan kita baru begitu, terlalu awal. Berikan ruang kepada Unit Perancang Ekonomi, pakar ekonomi termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk beri input supaya semua ahli Parlimen dapat ikuti,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, rakyat tertipu dengan kejayaan sendiri dan institusi kerajaan pula terus melaksanakan dasar yang gagal setiap tahun.