TANGKAK - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September ini merupakan sebuah lembaran sejarah dalam Malaysia Baharu.
Menurut beliau, slogan yang sering dilaungkan kerajaan kini dilihat masih samar kerana setelah lebih setahun pemerintahan di bawah Pakatan Harapan (PH), tiada yang mampu dikaitkan dengan Malaysia Baharu.
"Perjanjian dua pihak iaitu Pas dan UMNO inilah yang membuktikan Malaysia Baharu dalam usaha membela nasib golongan Melayu.
"Marilah kita sama-sama jadikan tanggal 14 September ini sebagai satu lembaran baru bagi sejarah perjuangan Islam dan Ummah. Kita jadikan gabungan ini sebagai sebuah semangat untuk kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 2,000 penduduk sempena Ceramah Umum Penyatuan Ummah di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini malam tadi.
Hadir sama, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri.
Menurut Najib, kesepakatan antara kedua parti itu jelas membuktikan bahawa mereka amat komited dalam perjuangan politik Malaysia selain persediaan kukuh menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"Dahulu kita pegang negara, kita tak kacau gaji penjawat awam, malah golongan ini dapat bonus, dapat kenaikan gaji. Kita jaga mereka. Tapi sekarang apa jadi dengan nasib penjawat awam?
"Itu belum cerita nasib pekebun kecil macam penoreh getah, pekebun sawit. Ekonomi mereka makin jatuh dan tiada siapa bela mereka. Kalau BN teraju negara dulu, golongan inilah yang kita jaga,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk memberi sokongan kepada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini yang mana ia bakal menjadi platform utama buat golongan Melayu.