SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan ahli parti itu supaya memastikan Umno tidak menjadi seperti Bersatu 2.0.
Beliau menasihatkan agar ahli Umno agar tidak melakukan perkara yang kini diamalkan dalam Bersatu seperti diskriminasi keahlian dan halangan kebebasan bersuara.
"Kita harus pastikan Umno tidak menjadi Bersatu 2.0...(yang amalkan) diskriminasi keahlian, halangan kebebasan bersuara, kesamaran siapa pembuat dasar, kronisma dan nepotisma.
"Selain itu, elakkan juga dari bermewah dalam organisasi dan sikap menyalahkan orang, angkuh, sombong dan prestasi yang rendah perlu dielakkan," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Annuar turut mengingatkan ahli parti supaya mengelak budaya menyalahkan bangsa sendiri, meremehkan peranan agama, menghina kedudukan raja dan memperlekeh bahasa sendiri.
"Sebaliknya, (Umno perlu) memperkasakan lagi agenda dakwah Islamiah, kedudukan Islam, bahasa Melayu, Raja Melayu dan hak istimewa Melayu," katanya.
Kenyataan Annuar itu dilihat menyindir Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak mendedahkan tentang nasib orang Melayu dan Bumiputera yang kurang maju disebabkan kesalahan sendiri, dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-2 Bersatu, malam tadi.
Dr Mahathir berkata, beliau tidak kisah dituduh rasis kerana mendedahkan nasib Melayu dan Bumiputera yang hidup dalam kesusahan, asalkan bangsa itu sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka pada masa depan.