Lapan stesen catat bacaan IPU tidak sihat: JAS

Iklan
Pemandangan di perairan kampung air Patau-patau Dua kelihatan berjerebu ketika tinjauan pagi tadi. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada pukul 12 tengah hari tadi menunjukkan tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 58 stesen pada status kualiti udara tahap sederhana, manakala lapan stesen pada tahap tidak sihat, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Lapan stesen tersebut membabitkan tujuh di Sarawak iaitu Samarahan (IPU 200), Sibu (185), Mukah (177), Miri (155), ILP Miri (142), Kuala Baram (116) dan Bintulu (110) manakala satu stesen di Selangor iaitu Johan Setia dengan bacaan 124.

Iklan
Iklan

Sementara itu, dua stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat di Sarawak iaitu Sri Aman (238) dan Kuching (223), menurut JAS dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia, masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak, jelasnya.

Iklan

"Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang memadamkan api tersebut dan pihak JAS Selangor dalam usaha mencari pemilik tanah untuk tindakan penguatkuasaan.

Iklan

Tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian, jelasnya, turut dipertingkatkan ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke masa.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, 116 titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia, 646 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia, satu titik panas dikesan di Brunei dan 52 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Sarawak (40) dan enam titik panas masing-masing di Sabah dan Johor.

"Terdapat titik panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya," jelasnya. - Bernama