KUANTAN - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat siasatan berhubung status halal gula-gula 'White Rabbit' yang menjadi tanda tanya pengguna di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, Jakim diarahkan membuat siasatan berhubung perkara tersebut.
"White Rabbit adalah produk buatan China dan tidak pernah membuat permohonan untuk mendapatkan status halal.
"Demi kepentingan umat Islam di negara ini, Jakim akan buat siasatan kerana masalah ini menjadi tanda tanya dan membuatkan pengguna dalam dilema," katanya selepas merasmikan program Ziarah Kasih Rahmah 2019 di Sungai Lembing hari ini.
Beliau berkata, Jakim akan mengambil sampel dan membuat ujian makmal bagi memastikan status halal produk makanan tersebut.
"Saya akan bincang dengan pihak Jakim mengenai perkara ini.
"Untuk pastikan apa yang tular dan aduan yang diterima, tindakan perlu diambil," katanya.
Status halal gula-gula 'White Rabbit' yang digemari masyarakat Malaysia sejak berkurun lama tular di laman sosial.
Netizen mendakwa gula-gula dari negara China tersebut mengandungi protein khinzir tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya.
Gula-gula paling popular di Asia Tenggara tersebut disahkan tidak membuat sebarang permohonan sijil halal di negara ini.